Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberi jaminan bahawa kedaulatan negara terpelihara sepenuhnya dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong, menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Fasal 5.1, 5.2, dan 5.3 dalam perjanjian itu telah menggadaikan hak kedaulatan negara.

Beliau merujuk kepada kenyataan bersama tiga Ahli Parlimen Kerajaan iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan), Wong Chen (Subang Jaya), dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).

Chin Tong berkata, tuduhan Ahli-ahli Parlimen itu bahawa fasal berkenaan memaksa Malaysia untuk memihak kepada kepentingan keselamatan negara dan ekonomi AS adalah tidak benar.

Dalam satu kenyataan media, Chin Tong menyifatkan dakwaan itu sebagai “kebutaan yang disengajakan, berlebihan, dan tidak perlu terhadap realiti sebenar perjanjian.” 

Beliau menegaskan bahawa komitmen dalam perjanjian berkenaan mesti dilaksanakan dengan cara yang tidak melanggar kedaulatan negara.

Chin Tong menjelaskan bahawa fasal-fasal yang dipetik oleh ketiga-tiga Ahli Parlimen itu sebenarnya mempunyai kaveat yang jelas. 

Beliau berkata, fasal itu menyatakan bahawa sebarang pelaksanaan adalah “mengikut undang-undang dan peraturan dalam negara”.

Tambah beliau, fasal berkenaan juga hanya terpakai apabila wujud “kebimbangan bersama” (shared concerns) mengenai ekonomi atau keselamatan negara. Ini secara jelas menafikan dakwaan bahawa Malaysia terikat secara berat sebelah kepada kepentingan AS.

Chin Tong turut meluahkan rasa kesal kerana Ahli Parlimen ‘backbenchers’ kerajaan itu telah “memetik kenyataannya secara terpilih tanpa konteks penuh.” Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “tindakan berniat jahat” yang membuka ruang kepada tafsiran yang memesongkan substansi sebenar.

Beliau merujuk kepada kenyataannya di forum MIER, di mana Ahli Parlimen itu mendakwa Chin Tong mengaku Malaysia “dipaksa” berunding. 

Chin Tong menjelaskan konteks sebenar adalah merujuk kepada era tarif Presiden Donald Trump, yang memaksa ‘semua’ negara pengeksport utama seperti China, Jepun, dan EU untuk berunding, bukan hanya Malaysia.

Menurut beliau, di sebalik keadaan global yang sukar itu, Malaysia berjaya memperoleh ‘perjanjian yang baik’.

Perjanjian ART itu berjaya mengurangkan beban tarif negara dari paras 24 hingga 25 peratus kepada 19 peratus, selain turut menambah baik akses pasaran.

“Semua kepastian dalam perdagangan dengan AS ini akan membantu memberikan kestabilan kepada ekonomi kita,” katanya. 

Beliau menegaskan kestabilan ini amat penting ketika Malaysia terus membina semula dan mengukuhkan ekonominya, sekali gus melindungi pekerjaan dan pasaran eksport.

Berikutan penjelasan itu, Chin Tong menyifatkan cadangan Ahli Parlimen berkenaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau merundingkan semula ART adalah ‘tidak perlu’. 

Beliau berkata gesaan itu berpunca daripada kekurangan pemahaman terhadap terma ART dan konteks perdagangan antarabangsa yang lebih luas.

Timbalan Menteri MITI itu memberi amaran bahawa mengambil langkah-langkah seperti itu hanya akan menyuntik ketidaktentuan ke dalam ekonomi dan pasaran negara. Beliau juga mengkritik tindakan menabur syak wasangka separa benar yang tidak membantu orang ramai memahami isu sebenar.-BH Online