Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 13 November -Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah memandangkan perkara itu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican secara rasmi hari ini akan menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi segera memulakan rundingan semula berhubung perkara tersebut.

“Malah hari ini perbendaharaan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya rundingan dimulakan segera supaya tidak ada lagi penangguhan.

“Saya nak jelaskan sebelum rujuk perkara kedua. Ada tafsirkan keputusan jabatan peguam negara untuk failkan rayuan itu akan ungkit perkara pertama. Saya jelaskan sekali lagi tidak ada rayuan dalam isu pemberian khas. Noktah,” katanya dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, rundingan semula Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah dalam tempoh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah akan memberi fokus kepada soal-soal teknikal termasuk yang dibangkitkan dalam penghakiman keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Katanya, sebarang keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan selepas Kerajaan Negeri yang baharu dibentuk.

“Kerajaan negeri sekarang ini kerajaan interim, caretaker. Kita tak mahu dianggap melengahkan proses dah berjalan. Sekarang Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negeri berunding soal-soal teknikal.

“Jawatankuasa teknikal tentu dibincangkan, merujuk Menteri Kewangan, Ketua mMenteri dan jemaah menteri tentulah habis PRU DUN dan Kerajaan Negeri terbentuk. Saya tak fikir ia halang perbincangan teknikal terlebih dahulu,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan Kerajaan Negeri mengambil pendekatan yang lebih positif dengan Kerajaan Persekutuan demi kelancaran sebarang proses rundingan.-Berita RTM