KUALA LUMPUR, 12 November – Pembangunan negara perlu seimbang antara kemajuan fizikal dan pembangunan insan, supaya kemajuan yang dicapai bukan hanya dilihat dari aspek kebendaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, setiap pelan pembangunan negara mesti disertai nilai empati dan keprihatinan agar tiada golongan miskin atau terpinggir daripada arus kemajuan.
“Dari segi duniawi dan kebendaan, kita mampu menambahnya, tetapi jangan ditinggalkan aspek mulia seperti Kampung Angkat MADANI, Sekolah Madani dan Sejati Madani.
“Sentuhan MADANI ini datang mengingatkan kita bahawa pembangunan itu tidak semestinya sesuatu yang baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan pendekatan yang lebih tersusun dan sistematik bagi memastikan permasalahan rakyat ditangani dari akar umbi, bukan sekadar dibincangkan di peringkat mesyuarat.
“Semua kita turun ke daerah, semua kita balik kampung, tetapi bila ada rencana yang lebih tersusun dan diarah supaya kita meneliti permasalahan dari akar umbi — itu berbeza daripada mesyuarat,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru seluruh jentera kerajaan agar mempergiat usaha tambahan yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dan negara selaras dengan semangat Malaysia MADANI.-Berita RTM
