Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara akibat terjebak dengan aktiviti penipuan dalam talian, berdasarkan data direkodkan setakat 8 November lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata daripada jumlah itu, 765 adalah kaum Cina manakala 34 Melayu, 33 (India) dan lima lagi daripada etnik lain.

“Yang paling ramai ditahan adalah di China seramai 545 orang, merangkumi 505 lelaki dan 40 perempuan. 

“Kedua, rakyat Malaysia yang ramai ditahan atas kesalahan penipuan dalam talian adalah di Singapura, jiran kita, membabitkan jumlah 162 orang. Daripada jumlah itu, 148 lelaki dan 14 perempuan.

“Yang lain di Jepun (34), Korea (22), India (20), Indonesia (11), Thailand (10)… Yang lain sikit-sikit,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta kementerian menyatakan bilangan warganegara Malaysia sedang ditahan atau dijatuhi hukuman di luar negara, membabitkan kes penipuan dalam talian mengikut pecahan kaum, jantina dan negara.

Menurut Mohamad, pihaknya menganggarkan jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara mencecah ribuan orang atas pelbagai kesalahan.

Katanya, penipuan dalam talian antara satu daripada banyak segmen kesalahan yang menjadi faktor penahanan rakyat Malaysia di luar negara.

“Itu satu segmen kes sahaja. Tapi banyak lagi kesalahan. Beribu-ribu rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara. Yang ini juga menjadi masalah kepada kita.

“Kita nak membina, nak melonjakkan imej negara tapi banyak rakyat kita yang ditahan di luar negara atas kesalahan-kesalahan yang boleh mencemarkan nama negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara supaya sentiasa berwaspada dan memahami undang-undang negara yang mereka kunjungi.

“Sebaik boleh, kita mahu rakyat Malaysia menjadi rakyat atau pelancong cemerlang,” katanya.-BH Online