KUALA LUMPUR: Malaysia diiktiraf sebagai rakan strategik rantaian bekalan dipercayai oleh Amerika Syarikat (AS) melalui perjanjian perdagangan yang turut memberi pengecualian tarif kepada lebih 1,700 produk keluaran tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pengiktirafan itu dilihat sebagai langkah penting yang akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global khususnya sektor-sektor strategik seperti semikonduktor, aeroangkasa dan farmaseutikal.
“Pengiktirafan ini akan memperkukuh lagi ekosistem industri tempatan yang terbabit dalam rantaian bekalan ke AS.
“Dalam konteks semasa, aspek keselamatan rantaian bekalan amat penting sebagai sebahagian daripada isu keselamatan ekonomi global,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook rasmi beliau.
Tengku Zafrul berkata, banyak pihak yang bertanyakan sama ada pengecualian tarif oleh AS ini benar-benar menguntungkan Malaysia atau sebenarnya lebih memihak kepada pengimport.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana pengecualian taruf kepada 1,700 produk itu merangkumi sekitar 12 peratus daripada jumlah eksport negara.
Pada masa yang samam katanya potensi peningkatan eksport juga besar memandangkan produk-produk itu kini dikecualikan daripada tarif sebanyak 19 peratus.
Justeru, menurutnya semua pihak perlu melihat perkara itu secara holistik kerana pada masa yang sama, rundingan berkaitan sektor tarif masih diteruskan.
“Di bawah Seksyen 232 undang-undang perdagangan AS, masih terdapat perbincangan mengenai beberapa sektor yang dianggap strategik antaranya semikonduktor.
“Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, pihak AS menyatakan mereka akan meneliti perkara ini secara positif dalam rundingan akan datang, terutamanya bagi sektor-sektor penting yang memberi manfaat kepada Malaysia,” katanya.
Pada 26 Oktober 2025, Malaysia dan AS menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang membabitkan pengecualian atau pengurangan tarif bagi lebih 1,711 barisan tarif eksport Malaysia ke AS.
Perjanjian itu menetapkan bahawa kadar tarif asas bagi kebanyakan eksport Malaysia ke AS kekal pada 19 peratus tetapi barangan terpilih akan dikecualikan atau mendapat kadar yang lebih rendah.
Barangan yang tersenarai termasuk sawit, getah, koko, aeroangkasa dan farmaseutikal.
Kedatangan Presiden AS, Donald Trump ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-47 bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi platform penting bagi menandatangani perjanjian tersebut.
Secara keseluruhan, perjanjian itu menandakan satu langkah penting bagi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global dan tekanan tarif dari AS.-BH Online
