BALIK PULAU: Projek sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR), kini berada pada peringkat permintaan untuk cadangan (RFP).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya membuka peluang kepada mana-mana pihak berminat untuk mengemukakan cadangan bagi pelaksanaan sistem tol tanpa palang itu.
Ia adalah antara langkah strategik ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) yang lebih cekap dan efisien.
“Kita mengamalkan sistem RFP, jadi kita juga menggunakan kaedah perniagaan kepada perniagaan. Sekarang, kita masih buka kepada pihak yang berminat, dan menerima pelbagai cadangan daripada mereka.
“Pelaksanaan sistem tol tanpa palang itu dijangka dapat dimuktamadkan pada tahun depan kerana kita tidak mahu terburu-buru dan perlu meneliti secara terperinci.
“Ia kerana pelaksanaan sistem itu akan memberi implikasi besar kepada pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak di projek pembaikan cerun di laluan FT006 Seksyen 40.84 Jalan Balik Pulau-Teluk Bahang di sini, hari ini.
Sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi serta pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.
Pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.
Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut menjalankan kajian rapi dengan meninjau pelaksanaan sistem pengangkutan pintar (ITS) di beberapa negara maju.
“Saya baru pulang dari Korea bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKR. Kami juga sudah beberapa kali meninjau ke negara lain untuk melihat cara mereka melaksanakan ITS,” katanya.-BH Online
