PUTRAJAYA: Penubuhan makmal bagi mengkaji isu berpanjangan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah, antara langkah diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkukuh pelaksanaan kurikulum baharu pendidikan negara.
Makmal STEM yang diketuai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala itu berfungsi sebagai platform bagi mengenal pasti dan mendiagnosis punca sebenar kelemahan pelaksanaan dasar STEM yang sudah lama tertangguh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu antara usaha penting negara bagi menangani kebimbangan terhadap trend penurunan jumlah pelajar yang mengambil subjek STEM, yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.
Beliau berkata, ketika ini, nisbah pelajar aliran sains berbanding sastera atau sains sosial tidak pernah mencapai sasaran ditetapkan iaitu 60:40, sekali gus menuntut perhatian serius bagi memastikan keseimbangan tenaga mahir dalam bidang kritikal negara dapat dikekalkan.
Katanya, perubahan dalam sistem pendidikan negara perlu digerakkan segera melalui pendekatan yang menyeluruh, dengan memastikan pelajar didedahkan seawal mungkin kepada aliran STEM bagi membina asas minat serta kemahiran sejak peringkat awal persekolahan.
“Ketika ini kita sudah mewajibkan sekolah berasrama penuh (SBP) menerapkan STEM dengan lebih 90 peratus pelaksanaan ke arah itu.
“Sekarang kita beralih kepada sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) untuk turut melaksanakan aliran STEM, ia tidak diwajibkan tetapi digalakkan.
“Seterusnya, kita akan melaksanakan intervensi di sekolah harian iaitu di sekolah menengah kebangsaan (SMK) harian, melalui pembukaan kelas STEM dan semua tindakan ini bertujuan memantapkan ekosistem pendidikan STEM kerana jika pelajar fokus dalam aliran ini ketika di Tingkatan Tiga atau Empat, ia mungkin terlambat yang akhirnya isu ini tidak akan selesai.
“Kita melihat masalah isu berlaku disebabkan intervensi dalam subjek Matematik dan Sains dilakukan agak lambat, menyebabkan pelajar hilang minat, seterusnya menjejaskan kesinambungan bidang STEM,” katanya kepada BH, dalam pertemuan di pejabatnya, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencadangkan 70 peratus pelajar SBP memilih aliran STEM bermula tahun depan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dilaksanakan segera, sejajar kepentingan bidang berkenaan dalam pembangunan negara.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, antara punca kegagalan STEM disebabkan stigma bahawa subjek STEM sukar dan membebankan pelajar, jadi makmal STEM perlu mencari penyelesaian tuntas terhadap perkara itu.
Beliau berkata, persepsi negatif terhadap STEM itu turut mempengaruhi keputusan ibu bapa dalam pemilihan aliran pendidikan anak mereka.
“Sebenarnya masalah bukan pada subjek, tetapi pada pendekatan pengajaran yang kurang menarik.
“Ramai pelajar dan ibu bapa berasakan STEM susah dan ini menjadi budaya yang memberi kesan kepada ekosistem itu sendiri.
“Pelajar mengakui sukar lulus jika mengambil aliran ini, manakala ibu bapa pula tidak mahu membebankan anak, malah stigma ini juga wujud dalam kalangan guru.
“Jadi makmal STEM perlu memperbaiki kelemahan pelaksanaan STEM secara kolektif bagi memastikan aliran itu bukan saja menjadi pilihan pelajar tetapi mendapat sokongan ibu bapa. Kita akan bentangkan dapatan itu dengan melancarkan kurikulum pendidikan baharu pada 2027,” katanya.
Susulan itu, Fadhlina berkata, KPM akan memperluas pelaksanaan STEM ke peringkat sekolah rendah bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang itu, bertujuan menanam asas kefahaman serta minat daripada usia muda.
“Dengan kurikulum baharu ini, minat terhadap STEM dapat dipupuk lebih awal kerana subjek seperti Alam dan Manusia, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) sudah diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah lagi.
“Pendekatan ini membolehkan pendedahan terhadap STEM bermula lebih awal di sekolah rendah,” katanya.
Fadhlina berkata, KPM ketika ini juga memberi tumpuan dalam penguasaan bahasa Inggeris dalam STEM yang dilihat menjadi antara kekurangan kepada pelajar dalam aliran itu.
“Kesan daripada pelaksanaan Dual Language Program (DLP) ini dapat dilihat apabila keputusan peperiksaan menunjukkan murid DLP mencatat peningkatan baik dalam subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris, terutama di kawasan bandar.
“Ini kerana bahasa itu menjadi bahasa utama keluarga, jadi tiada masalah untuk mereka menguasainya, namun bagi murid di kawasan lain (luar bandar), keadaan berbeza. Sebab itu kita perlu memberi lebih tumpuan kepada guru, khususnya dari segi pedagogi, pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Bagi murid yang boleh menguasai STEM dalam bahasa pertamanya iaitu bahasa Melayu, kita kena buka ruang, jadi perlu latih lebih banyak guru Sains dan Matematik mahir bahasa Melayu,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM turut memperkenalkan program Sekolah Angkat Madani membabitkan 1,000 sekolah di seluruh negara bagi memperkukuh pendidikan inklusif dan menangani isu keciciran pelajar.
Beliau berkata, Program Anak Kita di bawah Unit Pantau Madani juga akan memberi tumpuan khusus terhadap golongan pelajar yang berisiko tercicir.
“Inisiatif menyeluruh ini dilihat sebagai langkah strategik KPM dalam memastikan pendidikan Malaysia bergerak ke arah masa depan yang lebih dinamik, inklusif dan berdaya saing, khususnya dalam memperkukuh penguasaan STEM dalam kalangan generasi muda,” katanya.-BH Online
