KUALA LUMPUR: Malaysia masih mengekalkan dasar melarang eksport mineral kritikal dan unsur nadir bumi (REE) mentah bagi memastikan pembangunan industri hiliran domestik.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata langkah itu dikekalkan kerana kerajaan mahukan nilai tambah berlaku di dalam negara dengan kewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pertukaran teknologi.
Beliau berkata, Malaysia tidak mahu lagi menjadi negara yang hanya menggali dan menghantar keluar bahan mentah murah seperti yang berlaku suatu ketika dahulu.
Katanya, kerajaan juga ketika ini menggalakkan pelaburan asing dan perkongsian teknologi bagi aktiviti perlombongan REE mentah dalam membangunkan ekosistem industri domestik yang lebih bersepadu.
“Lantaran itu Malaysia mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak Amerika Syarikat (AS) mahupun negara negara lain dalam pembangunan industri REE tempatan terutamanya potensi kerjasama tripartite antara pihak Malaysia, AS dan Australia (Lynas).
“Jika ada pembangunan sumber strategik negara, ia akan berlaku mengikut undang-undang Malaysia, di tanah Malaysia dengan kawalan kedaulatan Malaysia, bukannya mengikut kehendak pelabur asing,” katanya.
Tengku Zafrul menjelaskan, dasar Malaysia itu adalah sama seperti sektor lain iaitu minyak dan gas, getah, koko dan minyak sawit.
Beliau berkata, Malaysia tidak menghalang eksport produk hiliran dan bahan yang telah diproses.
“Prinsip yang sama terpakai kepada REE dan mineral kritikal. Selepas diproses di dalam negara mengikut undang-undang, piawaian dan penciptaan nilai negara, produk hiliran bernilai tinggi bolehlah dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global.
“Inilah caranya kita memastikan pekerjaan berkemahiran tinggi, teknologi pemprosesan, dan nilai industri kekal di Malaysia bukan disedut keluar sebagai bijih mentah dengan harga murah.
“Pelaksanaan fasilitasi dan semua pelaburan di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS akan terus tertakluk dan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara.
“Ia bagi memastikan sektor strategik kekal dilindungi, dan dalam masa yang sama memperkukuh peluang baharu untuk rakyat dan industri domestik,” katanya.-BH Online
