Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menjemput New Zealand untuk menyertai Majlis Halal ASEAN bagi mempertingkat kerjasama dua hala dalam soal pensijilan halal. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia berpandangan produk halal tidak seharusnya terhad kepada makanan dan minuman semata-mata, tetapi turut meliputi pelbagai kategori lain. 

Malah, katanya, konsep halal bukan hanya berkaitan keperluan umat Islam semata-mata, sebaliknya ia turut menekankan aspek kebersihan, keselamatan makanan, serta ujian saintifik dan kualiti yang ketat.

“Walaupun New Zealand bukan negara anggota ASEAN, penyertaan mereka boleh dipertimbangkan melalui konsep ‘ASEAN Halal Council Plus’ atau sekurang-kurangnya dijemput sebagai pemerhati dalam mesyuarat majlis itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Timor-Leste mengenai Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Luar Bandar. 

Terdahulu, Ahmad Zahid hadir pada Majlis Halal Diplomasi yang dihoskan negara itu bersama Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. 

Pada majlis itu, Luxon dan Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran nota berhubung Perjanjian Industri Halal (HIA) antara kerajaan Malaysia dan New Zealand.

Pertukaran dibuat antara Ketua Pengarah, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Michael Wehi Mailetonga Walsh.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Kebangsaan, berkata dalam mengembangkan pasaran halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melantik tiga persatuan Muslim di New Zealand untuk melaksanakan pensijilan halal di negara itu. 

“Selama ini, produk halal dari New Zealand banyak memasuki pasaran Malaysia. 

“Namun, kita juga mahu melihat produk halal dari Malaysia menembusi pasaran New Zealand, kerana Malaysia mempunyai ekosistem halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.-BH Online