KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN dan China akan memperoleh manfaat besar hasil penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN-China hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perjanjian dipertingkat itu akan membuka ruang baharu bagi penyelarasan perdagangan dan pelaburan antara negara ASEAN dengan China, selaku rakan dagang terbesar rantau ini.
“Ini satu perkara yang amat baik bagi negara-negara ASEAN untuk menyelaras perdagangan antara sesama ASEAN dan juga dengan China,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
ACFTA 3.0 hari ini ditandatangani Menteri Pelaburan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala China diwakili Menteri Perdagangannya, Wang Wentao.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang menyaksikan majlis itu.
Tambah Mohamad, antara tumpuan utama ACFTA 3.0 ialah usaha menurunkan pelbagai halangan perdagangan yang masih wujud antara kedua-dua pihak bagi memastikan urus niaga lebih lancar dan mesra pasaran.
“Kita melihat bagaimana mahu menurunkan apa-apa jua halangan-halangan perdagangan di antara ASEAN dengan China supaya tidak ada pertindihan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai butiran penambahbaikan itu dan menjelaskan Perdana Menteri akan memberikan penerangan lanjut dalam sidang media khas selepas sidang kemuncak berkenaan petang ini.
“Biar Perdana Menteri yang umumkan nanti. Saya tak mahu mendahului beliau,” katanya.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN-China, Mohamad berkata ASEAN turut dijadual mengadakan sidang kemuncak dengan Australia dan New Zealand bagi membincangkan pelbagai bentuk kerjasama serantau.-BH Online
