KUALA LUMPUR: Malaysia memegang prinsip ‘centrality‘ yang merujuk kualiti yang menjadikan ia penting atau mustahak dalam menilai perjanjian perdagangan yang ditandatangani, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, keutamaan itu dijadikan pertimbangfan dalam menilai semua perjanjian sama ada membabitkan Amerika Syarikat (AS), Russia dan China.
“Kami memberikan sedikit keutamaan (kepada AS). Kami memberikan sedikit keutamaan kepada Russia. Kami memberikan sedikit keutamaan kepada China.
“Kami mengikut prinsip kepusatan. Perdagangan dan pelaburan adalah sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyertai mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Russia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.
Russia diwakili Timbalan Perdana Menteri, Alexey Overchuk.
Perdana Menteri menjawab soalan bagaimana Malaysia menilai perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia dengan AS, semalam.
Mengenai isu yang akan dibincangkan dengan Russia, Perdana Menteri berkata Malaysia akan meningkatkan kerjasama dalam semua bidang termasuk penyelidikan, pendidikan, sains, perdagangan dan pelaburan.null
“Kami mempunyai hubungan baik dengan Russia. Saya mengadakan pertemuan yang baik dengan Presiden, Vladimir Putin di Kremlin (merujuk lawatan rasmi beliau ke Kremlin pada Mei lalu) dan kami akan teruskan,” katanya.
Semalam, AS dan Malaysia mencapai persetujuan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, yang akan memberi akses pasaran belum pernah berlaku sebelum ini kepada pengeksport kedua-dua negara.
Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri dan Presiden AS, Donald Trump.-BH Online
