PUTRAJAYA, 14 Oktober – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyemak semula kriteria kelayakan bagi pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, bagi memastikan pelaksanaannya lebih telus dan menepati piawaian akademik.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata semakan itu melibatkan penilaian semula terhadap kaedah dan standard yang diguna pakai oleh semua institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk universiti awam dan swasta.
“Selama ini, mungkin kita hanya mengambil pendekatan umum asal pelajar mendapat kelas pertama, maka diberi pengecualian.
“Namun, kerajaan sedar perlu ada semakan semula, terutama dari segi pencapaian akademik dan penilaian sebenar”, katanya pada pada sidang media Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025 di Putrajaya.
Menurut Datuk Seri Dr Zambry, langkah itu penting kerana terdapat lebih 390 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dengan sistem penilaian berbeza, berbanding institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berada di bawah kawalan langsung KPT.
Mengenai larangan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang culas, beliau menjelaskan sekatan itu hanya terpakai kepada mereka yang berkemampuan, tetapi gagal melunaskan pinjaman dalam tempoh yang lama.
“Kerajaan tidak berhasrat menyusahkan mana-mana pihak. Sekatan ini hanya akan dikenakan kepada mereka yang langsung tidak pernah membuat bayaran, termasuk yang berpendapatan tinggi atau menetap di luar negara.
“Ada kes tertentu sudah lebih tujuh, 10 malah 15 tahun masih tidak membuat bayaran. Golongan inilah yang akan diberi keutamaan untuk disemak dan disenaraikan,” katanya.
Tambahnya, pintu rundingan sentiasa terbuka bagi peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan untuk berbincang dengan pihak PTPTN bagi mencari penyelesaian yang sesuai.
Katanya, kerajaan mahu memastikan dasar sedia ada tidak dilihat menekan atau menutup ruang rundingan, sebaliknya memberi peluang kepada peminjam untuk menyelesaikan tunggakan secara berperingkat mengikut kemampuan masing-masing.-Berita RTM