Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.07 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan projek Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak ia dimulakan pada Januari 2023 hingga 30 Jun lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi kos pembelian ubat PrEP yang dibiayai melalui sumbangan Majlis AIDS Malaysia (MAM) menggunakan dana Global Fund kepada Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pembiayaan berkenaan dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.7.2.5 yang menetapkan garis panduan pemberian dan penerimaan hadiah dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus).

Menjawab pertanyaan berhubung anggaran kos tahunan sekiranya program itu diperluas ke seluruh negara, Dr Dzulkefly berkata, KKM menganggarkan sebanyak RM5.41 juta diperlukan bagi meneruskan pelaksanaan program berkenaan pada 2026.

“Peruntukan itu merangkumi bekalan ubat dan ujian makmal untuk anggaran seramai 21,136 pengguna PrEP.

“Meskipun program PrEP sudah diluluskan sebagai sebahagian daripada inisiatif pencegahan HIV di semua fasiliti kesihatan kerajaan mulai tahun ini Global Fund bersetuju meneruskan pembiayaan bagi pembelian ubat PrEP di 35 klinik kesihatan kerajaan sehingga Disember 2025,” katanya, 

Beliau menjelaskan berdasarkan data KKM, seramai 9,309 individu mengambil PrEP sehingga Jun 2025, dengan majoriti pengguna berasal dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 2,679 orang (28 peratus), diikuti Selangor (23 peratus) dan Johor (12 peratus).-BH Online