KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan kemelut ganjaran kemenangan atlet para negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang menjadi bahan perdebatan hangat sebelum ini dianggap selesai.
Penyelesaian itu dicapai selepas syarikat peruncitan, 99 Speed Mart Sdn Bhd tampil menyalurkan sumbangan khas ‘top-up’ tunai berjumlah RM107,000 secara terus kepada lima atlet para negara yang meraih pencapaian cemerlang di Paris.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata pihaknya amat menghargai solidariti dan keprihatinan yang ditunjukkan sektor swasta dalam memastikan kebajikan dan sumbangan atlet negara sentiasa dihargai.
“Saya merakamkan penghargaan kepada 99 Speed Mart Sdn Bhd kerana tampil sebagai penaja khas. Syarikat ini menyalurkan secara terus ganjaran tambahan (RM35,000 untuk pingat emas, RM15,000 untuk perak dan RM7,000 untuk gangsa) kepada lima atlet negara sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Lima atlet yang menerima ganjaran itu ialah jaguh para badminton, Cheah Liek Hou (emas); atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Anak Gustin (emas); atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly (perak); jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli (perak) dan pelari pecut, Eddy Bernard (gangsa).
Isu berkenaan sebelum ini mencetuskan polemik selepas Liek Hou meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berhubung kelewatan pembayaran insentif kemenangan yang dijanjikan.
Luahan itu kemudiannya menerima reaksi tegas daripada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas atlet berkenaan serta mempertimbangkan untuk menggantung penyertaannya daripada temasya sukan masa depan namun ia mendapat bantahan KBS.
Mengulas lanjut, Hannah menjelaskan bahawa 99 Speedmart tidak terbabit dalam janji asal sebaliknya tampil secara sukarela selepas mengikuti perkembangan isu itu di media.
“Saya ingin perjelaskan, 99 Speedmart tidak terbabit dalam janji asal. Mereka membaca berita mengenai perkara ini dan menghubungi pejabat saya. Mereka mahu tampil untuk menyelesaikan isu ini demi membantu atlet para kita.
“Mereka adalah ‘white knight’ (penyelamat) yang tampil menyelesaikan isu ini, supaya atlet kita menerima jumlah yang dilaporkan dalam akhbar sebelum ini,” katanya.
Bagi memastikan insiden sama tidak berulang, Hannah berkata satu templat kontrak standard di bawah program Road to Gold (RTG) sudah diserahkan kepada MPM untuk diguna pakai pada masa hadapan.
“Semalam, RTG telah memberikan templat kontrak yang akan digunakan untuk semua penaja yang menjanjikan ganjaran. Templat itu sudah diberikan kepada MPM dan kami meminta ia digunakan untuk mengelakkan perkara ini berulang.
“Majlis Sukan Negara (MSN) juga akan mengingatkan semua atlet podium untuk menggunakan templat ini bagi melindungi diri mereka,” katanya.-BH Online