Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Kerajaan menegaskan semua kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak dibenarkan sama sekali untuk membeli petrol RON95, meskipun selepas harganya diapungkan mengikut pasaran semasa kelak.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata larangan itu kekal seperti amalan sedia ada, dengan hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sahaja sah layak menikmati subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Bagaimanapun, beliau berkata warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan untuk membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan hujung bulan nanti.

“Bagi kenderaan berdaftar luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97, seperti ketetapan sedia ada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Zon Utara, di sini hari ini.

Mengulas kebimbangan sama ada kelonggaran pembelian tanpa subsidi kepada warga asing boleh menjejaskan bekalan untuk rakyat tempatan, beliau menegaskan perkara itu tidak tidak timbul.

“Soal kekurangan bekalan tak timbul kerana dasar larangan pembelian RON95 terhadap kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak pernah berubah.

“Mereka (kenderaan dengan nombor pendaftaran asing) hanya boleh beli RON97 yang harganya memang sudah ‘free float’ (diapungkan mengikut harga pasaran)… sesiapa sahaja boleh beli (RON97),” katanya.-BH Online