NILAI: Projek pembangunan Bandar Pintar Nilai di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi fasa pertama dianggarkan bernilai RM1 bilion, bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan yang mampan di Negeri Sembilan.
Projek itu adalah inisiatif kerjasama antara Nilai Resources Group Sdn Bhd dan Shandong High Speed Group bagi membangunkan kawasan seluas 90 hektar menjadi sebuah bandar pintar bersepadu dengan fokus pada pendidikan, perubatan, perniagaan, taman industri automotif dan perumahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata keseluruhan pembangunan projek ini akan mengambil masa 10 tahun dengan GDV keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM7 bilion.
Katanya, memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang dimeterai pada 25 Ogos 2025 lalu bukan sekadar tandatangan di atas kertas, tetapi sebuah komitmen untuk menukar potensi kepada realiti termasuk integrasi menyeluruh teknologi pembuatan (AI) di semua sektor pembangunan yang dicadangkan.
“Projek pembangunan Bandar Pintar Nilai ini seiring dengan aspirasi Malaysian Vision Valley (MVV) yang
bertujuan memacu pelaburan bernilai tinggi, teknologi canggih dan pembangunan mapan di Negeri Sembilan.
“Dengan ekosistem serantau yang saling menguatkan seperti logistik, pentadbiran, bakat dan jaringan industri, Nilai kini bersedia untuk melonjak sebagai hab pertumbuhan baharu.
“Malah, projek Bandar Pintar Nilai ini akan melengkapkan daya tarikan Nilai sebagai hab automotif, pusat teknologi serta destinasi pelaburan yang memberi impak positif kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Bandar Pintar Nilai, di tapak projek, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim;Pengerusi Nilai Resources Group Sdn Bhd, Tan Sri Dr Gan Kong Seng dan Pengerusi Shandong High Speed Group, Wang Qifeng.
Aminuddin berkata, projek berkenaan juga bakal membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu di kawasan terbabit.
“Tambahan pula dengan adanya lebuhraya Nilai–Labu–Enstek (NLE) yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang akan siap pada Julai 2026,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan projek terbabit akan terbahagi kepada enam komponen utama iaitu pendidikan, perubatan, perniagaan, pergudangan, taman industri automotif dan perumahan.
Menurutnya, projek ini dijangka menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung meliputi bidang teknikal, perkhidmatan, logistik, pemasaran dan pengurusan.
“Selain itu, ia bukan sahaja akan menarik jenama automotif antarabangsa, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan dan ekosistem industri automotif serantau,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, empat universiti terkemuka telah lama bertapak di kawasan berhampiran tapak projek iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Antarabangsa INTI, Universiti MILAdan Universiti Nilai.
Beliau yakin projek pembangunan ini akan membuka ruang baharu untuk usahawan tempatan, memperkukuh ekosistem perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta menyokong agenda kerajaan negeri untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
“Harapan saya, projek Bandar Pintar ini bakal menjadi pemangkin utama kepada pembangunan di kawasan sekitar,” katanya.-BH Online