KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara dengan melaksanakan pendekatan ‘whole-of-government, whole-of-society’ (WOGOS) bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks, termasuk di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata walaupun kawasan berkenaan kelihatan aman, tiada jaminan ia akan kekal stabil pada masa depan.
“Walaupun ketika ini kita dapat melihat negara masih aman, selamat dan damai, kita wajar sedar bahawa ancaman masih wujud sama ada dalam bentuk tradisional ataupun bukan tradisional.
“Lihat saja Laut China Selatan, walaupun nampak aman dan sentosa, namun tidak ada sesiapa boleh menjamin keamanan ini akan kekal.
“Kita juga perlu bersiap siaga menghadapi ancaman tidak tradisional seperti perubahan cuaca dan ketidakcukupan makanan, sekali gus meningkatkan kemampuan untuk menanganinya,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-92, di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, hari ini.
Seterusnya, Mohamed Khaled menegaskan kekuatan ATM membabitkan ketiga-tiga Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia kerana ia adalah aset utama negara.
“Hari ini, kita juga sedar dunia sekarang serba tidak menentu. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi dan geopolitik yang berubah dengan begitu pesat.
“Kita mempunyai anggota ATM yang gagah dan berwibawa, namun kekuatan mereka saja tidak memadai untuk menghadapi pelbagai jenis bentuk ancaman keselamatan.
“Atas sebab itulah, negara kita hari ini perlu memastikan soal keselamatan pertahanan bukan saja terletak di tangan atau bawah tanggungjawab ATM, tetapi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat,” katanya.
Beliau menjelaskan, CIMIC bukan sekadar pameran atau pertunjukan, sebaliknya platform membudayakan WOGOS supaya agenda pertahanan negara selari dengan aspirasi pembangunan negara.
“Sekurang-kurangnya rakyat mempunyai kesedaran dan juga kefahaman mengenai soal pertahanan dan keselamatan negara serta bagaimana mereka boleh menyumbang untuk memastikan negara kita selamat, aman dan stabil.
“Rakyat juga tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan negara. Melalui CIMIC, kita mahu meningkatkan kesedaran dan memupuk kefahaman rakyat supaya sama-sama memberi perhatian kepada soal pertahanan serta keselamatan negara.
“Ia juga mampu menimbulkan minat rakyat untuk menyertai angkatan tentera atau menceburkan diri sebagai anggota kesukarelawanan,” katanya.-BH Online