Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 19 September– Usaha pendigitalan khazanah ilmu perlu terus diperkukuh dan diperkasa bagi memastikan ia kekal relevan, seiring perkembangan teknologi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ke arah itu beliau berpandangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu lebih berani beradaptasi dengan kemajuan teknologi dan mentransformasi tradisi ilmu.

Jelasnya, langkah seumpama itu penting bagi meluaskan capaian ilmu dan memperkukuh ekosistem pendidikan. 

“Gunakan teknologi digital apatah lagi kecerdasan buatan (AI) dan “big data” sebagai wahana memperluas capaian. Biarlah ensiklopedia ini diaplikasikan agar menghiasi skrin telefon pintar setiap anak Malaysia bukan hanya dengan gambaran yang mengotori pemikiran dan meracuni jiwa.

“Integrasi dalam pendidikan. Ensiklopedia ini mesti dijadikan rujukan di sekolah, kolej, universiti dan pusat latihan dakwah, agar ia benar-benar memberikan impak kepada perkembangan ilmu. Jangan biarkan ia berhabuk di rak perpustakaan atau tersimpan sepi di almari masjid dan surau. Jadikanlah ia nadi pendidikan, bacaan keluarga dan panduan harian umat,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu‘ah Ahadith al- Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) Jilid 1 hingga Jilid 4 yang berlangsung di ibu negara.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut berpandangan Malaysia wajar bekerjasama dengan universiti, pusat kajian dan perpustakaan bukan sahaja di dunia Islam, malah dari negara Barat untuk memartabatkan ilmu ke peringkat global

Pada majlis tersebut, sebanyak enam ensiklopedia yang dilancarkan antaranya Ensiklopedia Sastera Melayu, Ensiklopedia Ikan Air Laut, Ensiklopedia Penyakit Berjangkit, Ensiklopedia Ikan Air Tawar, Ensiklopedia Serangga dan Ensiklopedia Sains Nuklea.

Majlis berkenaan juga menyaksikan penyerahan watikah kepada 22 orang penterjemah dan enam orang pentashih Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) yang terlibat dalam projek kerjasama penerbitan terjemahan antara DBP dengan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Projek Terjemahan dan Penerbitan Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) ialah terjemahan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu.

Ensiklopedia tersebut mengandungi 3,788 hadis dengan pendekatan tematik yang mengupas nilai keimanan, kemasyarakatan, akhlak, politik, pentadbiran, ekonomi, keilmuan, kesihatan, alam sekitar, tahap emosi dan estetika.

Ensiklopedia itu telah diterbitkan oleh Dar al-Faruq, Amman, Jordan pada tahun 2022 yang ditulis oleh tiga orang ilmuwan dalam bidang hadis iaitu Dr. Humam Abdul Rahim Said, Dr. Ahmad Muhammad Barhum dan Dr. Muhammad Humam Milhem.-Berita RTM