KUALA LUMPUR, 19 September – Perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik dijangka mengubah cara hidup serta pekerjaan manusia pada masa depan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo menegaskan, negara perlu bersedia dari aspek infrastruktur, kawal selia dan kesedaran rakyat agar tidak ada golongan yang tercicir dalam arus digital.
Menurut beliau, kerajaan komited memastikan ekosistem digital negara mampu menyokong pembangunan infrastruktur, perundangan dan piawaian bagi menjamin keselamatan serta kepercayaan rakyat terhadap penggunaan teknologi baharu.
“Setiap lapisan umur dan latar belakang demografi, sama ada di bandar, pinggir bandar mahupun kawasan luar bandar dan pedalaman perlu diberi perhatian. Sebab itu perbincangan tentang kesamarataan akses teknologi menjadi sangat penting.
“Kita mahu memastikan keselamatan semua terjamin kerana teknologi ini akan membantu sesiapa sahaja, tanpa mengira usia atau latar belakang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi bersama Sophia the Robot pada hari kedua Smart City Expo Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Gobind berkata, kementeriannya memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu infrastruktur, akses dan keselamatan.
Katanya, tanpa infrastruktur menyeluruh, penduduk di kawasan terpencil tidak akan mendapat akses, sekali gus mewujudkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
Selain itu, acara berkenaan turut memberi peluang generasi muda meneroka inovasi bandar pintar masa depan dengan penglibatan belia dari MDEC dan DNB.
Gobind turut meluangkan masa bersama kanak-kanak dari Pusat Jagaan Amal Asyura yang dibawa khas menyaksikan kecanggihan teknologi tersebut.
Sementara itu, beliau berkata bakat baharu perlu dibangunkan agar rakyat mampu menyesuaikan diri dengan peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi digital, termasuk bidang yang bakal muncul hasil perkembangan teknologi AI dan automasi.
“Kita perlu bergerak bersama dalam perjalanan membina Malaysia Digital baharu di mana peluang wujud untuk semua. Melihat jauh ke hadapan, kita bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, termasuk dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui inisiatif TVET, sebagai contoh.
“Kita perlu membina bakat baharu, mengiktiraf kesan teknologi terhadap pekerjaan, dan memahami bagaimana ia membuka peluang baharu. Perkara paling utama ialah membina keyakinan bahawa negara ini benar-benar bersedia.
“Apabila itu tercapai, peluang yang diwujudkan akan kekal di negara ini, dan rakyat boleh membayangkan serta merealisasikan masa depan mereka di sini,” ujarnya.
Dengan ekosistem digital yang kukuh, Gobind optimis Malaysia berupaya membina masa depan lebih inklusif serta berdaya saing di peringkat global.-BH Online