KUALA LUMPUR: Pengenalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) adalah antara reformasi radikal yang dilaksanakan Parlimen Malaysia bagi memastikan institusi perundangan tertinggi negara itu benar-benar bebas serta melaksanakan kebertanggungjawaban demokrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan pada sidang Parlimen baru-baru ini adalah satu pencapaian cemerlang yang mendapat sokongan penuh daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya Parlimen bebas daripada pengurusan kerajaan.
Melalui PMQT, Perdana Menteri berkata, ia adalah satu wacana sihat yang memerlukan beliau sebagai ketua kerajaan untuk menjawab soalan secara langsung daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang setiap minggu sepanjang sesi persidangan Dewan Rakyat.
“Saya sendiri berdepan pelbagai masalah di Dewan, terutama apabila kami memperkenalkan sesi PMQT dalam tempoh beberapa tahun lalu. Saya sendiri tidak pasti sama ada keputusan itu tepat tetapi kini saya terikat dengannya setiap minggu.
“Bagaimanapun, walaupun wujud pelbagai pandangan dan refleksi peribadi, saya mesti nyatakan bahawa ia adalah satu wacana yang sihat, yang meletakkan Perdana Menteri dan kerajaan dalam keadaan bersiap siaga dan memberi makna sebenar kepada apa yang kita panggil sebagai kebertanggungjawaban demokratik.
“Demokrasi bukan sekadar pilihan raya setiap empat atau lima tahun. Ia adalah sistem yang membenarkan parti pemerintah dipersoalkan, dikritik dan dinilai oleh rakyat serta bertanggungjawab atas segala yang mereka janji dan laksanakan, begitu juga Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA GA) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Perdana Menteri, berkata perkembangan di beberapa negara ASEAN dan di luar rantau ini, sejak kebelakangan ini, menyaksikan bukan hanya kerajaan, malah Ahli Parlimen turut dipersoalkan, sama ada mengenai menggunakan pengaruh untuk mengukuhkan kedudukan sendiri, meraih manfaat daripada keistimewaan yang dimiliki atau atau benar-benar berkhidmat demi kepentingan rakyat.
Justeru, beliau mengingatkan apa saja yang dilakukan anggota kerajaan dan Ahli Parlimen mesti menghormati semangat perlembagaan, sumpah jawatan dan kebertanggungjawaban serta hak rakyat untuk bertanya dan mempersoalkan.
“Perkembangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini amat mengejutkan dan memberi memberi peringatan kepada kerajaan dan pembangkang, Ahli Parlimen, Ahli Kongres serta Senator.
“Sudah tentu dalam era pengaruh dan kawalan media sosial, ada kalanya orang ramai boleh mendapat maklumat yang salah, namun menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin demi menunaikan komitmen dan sumpah jawatan kita,” katanya.
Menyentuh mengenai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan berlangsung bulan depan, Perdana Menteri, berkata ia menjadi cabaran besar kepada pemimpin ASEAN dalam usaha untuk membangunkan ekonomi dan menarik pelaburan, dengan kehadiran pemimpin besar dunia.
Sidang kemuncak itu, antaranya akan dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang, selain Presiden Russia, Vladimir Putin, yang memaklumkan kemungkinan besar akan hadir.
“Kita bukan sekadar bercakap mengenai 10 atau 11 negara saja. Kita bercakap mengenai negara yang mendapat perhatian yang besar daripada negara di Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Latin.
“Selebihnya adalah tanggungjawab AIPA untuk memastikan anda semua mendapat manfaat daripada pertukaran ini,” katanya.-BH Online