Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) menyasarkan jualan bernilai RM2.5 bilion melalui lebih daripada 4,000 mesyuarat perniagaan secara satu dengan satu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata program itu yang diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 menghubungkan 300 pembeli antarabangsa dari 50 negara dengan 600 pengeksport Malaysia.

“Ini bukan sekadar urus niaga jangka pendek tetapi juga kerjasama jangka panjang dalam pasaran bernilai tinggi. Para pembeli telah disaring dengan teliti oleh pesuruhjaya perdagangan MATRADE di seluruh dunia bagi memastikan keberangkalian mesyuarat yang tidak sepadan adalah rendah,” katanya kepada para pemberita.

Reezal Merican berkata penyertaan pembeli premium seperti JD.com dari China dan Reliance Industries Ltd dari India memberi peluang kepada pengeksport Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi rangkaian runcit antarabangsa.

“JD.com sahaja merekod jualan tahunan RM700 bilion dan Reliance pula sekitar RM500 bilion. Jika pengeksport Malaysia mampu memperoleh hanya satu peratus pasaran mereka yang digabungkan, nilainya adalah sangat besar,” katanya.

Beliau berkata dalam hal ini, MATRADE memastikan hanya syarikat yang bersedia untuk mengeksport mengambil bahagian dalam program itu.

“Ada sesetengah syarikat merupakan pengeluar yang berkebolehan tetapi hanya menumpukan kepada pasaran domestik. Apabila mereka bersedia untuk mengeksport, MATRADE akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata 4,000 mesyuarat yang diadakan hari ini bertujuan mewujudkan perkongsian perdagangan yang mampan dan bukannya transaksi yang berlangsung sekali sahaja.

“Salah satu kekuatan utama INSP MIHAS ialah keupayaan MATRADE memanfaatkan 48 pejabat perdagangan luar negara kami untuk menyaring dan memilih pembeli yang berkelayakan terlebih dahulu, sekali gus memastikan mesyuarat perniagaan lebih terarah dengan menghubungkan syarikat-syarikat Malaysia kepada pembeli yang mempunyai permintaan sebenar,” katanya.

Program pada tahun ini juga diperkenalkan dengan platform Perdagangan Digital MADANI (MDT) yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk memadankan pengeksport Malaysia dengan pembeli antarabangsa menggunakan data pasaran dan pilihan perniagaan.

Platform itu akan terus menyokong komponen secara maya INSP MIHAS 2025 sehingga 5 November, membolehkan pengeksport dan pembeli berhubung secara dalam talian selepas sesi fizikal hari ini.-MYMetro Online