KUCHING, 13 September – Sarawak tidak memandang ringan sebarang ancaman terhadap fasiliti dan aset strategiknya.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tahap keselamatan di fasiliti Gas Asli Cecair (LNG) di Bintulu akan dipertingkatkan.
Menurutnya, walaupun ancaman itu hanya disampaikan melalui media sosial, ia memberi petunjuk bahawa Sarawak kini menjadi perhatian dunia.
“Kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan di Bintulu termasuk penempatan naval base dan penubuhan batalion baharu tentera serta polis bagi memastikan kawasan itu lebih terjamin. Bintulu merupakan industrial hub penting untuk Malaysia,” katanya.
Tan Sri Abang Johari berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja sempena Perasmian Kompleks Perumahan PDRM Tabuan Jaya dan Penyerahan Aset Baharu di Kuching, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai ancaman terhadap fasiliti LNG di Bintulu minggu lalu.
Siasatan awal mendapati ancaman itu dihantar melalui nombor telefon berdaftar di negara jiran, Indonesia, kepada Naib Presiden Petronas.
Pada majlis sama, kerajaan Sarawak turut menyumbangkan empat buah kenderaan pacuan empat roda kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Mohd Khalid Ismail.-Berita RTM