MERSING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa gagasan Malaysia MADANI bukanlah idea baharu, sebaliknya dirumus bagi memastikan kemajuan negara seiring dengan pemerkasaan nilai kemanusiaan, keadilan dan akhlak mulia.
Beliau berkata masyarakat kini sibuk mengejar kemajuan digital dan kecerdasan buatan (AI), namun dalam masa sama ada yang memandang rendah kaum lain, menanam kebencian serta melupakan asas kemanusiaan.
“MADANI ini saya tegaskan, ekonomi mesti mampan untuk jangka panjang. Kamu kaya jangan tekan pekerja dengan gaji rendah. Jangan rebut kontrak untuk anak-pinak.
“Negara tidak boleh maju kalau ikut cara lama. Kita perlukan anak-anak dengan kepintaran tinggi, jadi mereka mesti tekun belajar,” katanya pada sesi Temu Anwar sempena Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) ke-27 di Pantai Tanjung Leman di sini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
Menurut Anwar, konsep MADANI menekankan kekuatan ekonomi dan kecanggihan teknologi yang mampu mengangkat martabat manusia, bukannya meruntuhkan akhlak.
“Kalau teknologi tinggi tetapi akhlak rendah, itu bukan kemajuan sebenar. Ada syarikat besar untung besar tetapi pekerja tidak dipedulikan. Itu sebab nilai Madani mesti diterapkan, supaya ada ihsan, keadilan dan kasih sayang,” katanya.-BH Online