Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di media sosial.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang memantau dengan rapat sebarang hantaran di platform digital yang boleh mencemarkan imej institusi berkenaan.

Katanya,TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu atau pemilik akaun media sosial yang menyebarkan fitnah mengikut lunas undang-undang

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai maklumat yang tidak sahih, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi TH bagi mendapatkan berita yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mustakim menegaskan, tuduhan video itu tidak benar yang kononnya terdapat isu dalam tadbir urus dan inisiatif penjenamaan semula TH.

Menurutnya, inisiatif penjenamaan itu dilaksanakan untuk memperkukuh peranan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan, sekali gus membantu umat Islam menabung secara sistematik bagi menunaikan ibadah haji.

Katanya, pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan Bumiputera Muslim, namun pelaksanaan strategi penjenamaan memerlukan kepakaran teknikal daripada konsortium sokongan bagi memastikan keberkesanan operasi serta relevan dengan perubahan demografi semasa.

“Kos mengerjakan haji semakin meningkat manakala kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan mencukupi.

“Justeru, pelan penjenamaan itu bertujuan memperkasa semula TH sebagai institusi kewangan Islam yang dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan serta merealisasikan impian menunaikan haji,” katanya.-BH Online