Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Golongan jurutera profesional di negara ini perlu memberi tumpuan bagi meningkatkan pembangunan kajian untuk menghasilkan produk, teknologi dan juga sistem dengan menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia penting dalam menyelesaikan perkara berkaitan dengan perubahan iklim dan cabaran cuaca tidak menentu bagi mengurangkan kesan bencana alam.

Mengambil contoh kejayaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat dan kepakaran tempatan, katanya, ia jelas membuktikan tenaga jurutera tempatan adalah berkebolehan. 

Namun Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk Malaysia menjadi negara pencipta, dan bukan lagi pengguna.

“Apakah cabaran yang bakal kita hadapi pada masa hadapan dan sedang kita hadapi? Apakah keperluan yang ada pada kita, dan jurutera? Bagaimana kita nak mencorak, pertama sekali dengan cabaran cuaca yang tidak menentu dan perubahan iklim?

“Kita melihat hujan makin lebat, ribut taufan tidak menentu waktu ini. Malah sekarang ini, dalam konteks PETRA dengan keadaan tidak menentu, air yang terlalu banyak, akan datang banjir, pelbagai bencana. 

“Ada waktu pula tak ada air, walaupun banyak sungai. Jadi ini semua bakal kita hadapi dan ia menjadi peranan semua jurutera…bagaimana kita hendak menghadapi krisis ini dan pastikan negara kita akan dapat mendepani segala cabaran ini?” katanya ketika berucap pada Majlis 

Penganugerahan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia 2025, di sini hari ini. null

Hadir sama Presiden Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Roslan Ismail. 

Pada masa sama, Fadillah berkata, selain kebolehan jurutera di negara ini dalam terbabit dalam projek pembangunan, turut perlu ditekankan ialah keupayaan untuk menghasilkan teknologi tempatan. 

Beliau berkata, turut perlu dikuasai adalah teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan sistem bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi. 

“Bagaimana kita hendak gunakan AI untuk penyelesaian kepada permasalahan yang kita hadapi dan mencipta rekaan yang lebih mampu dibiayai. Ini yang kita perlu ada. Sebuah inovasi yang perlu kita kuasai. 

“Saya percaya lembaga jurutera boleh memainkan peranan ini termasuk melahirkan jurutera muda. Sudah 200 lebih jurutera yang mendaftar dan difahamkan kira-kira 15,000 jurutera muda mendaftar dengan lembaga,” katanya. 

Fadillah berkata, di bawah konteks MADANI pula, penekanan diberikan kepada tiga teras membabitkan kemampanan, kesejahteraan rakyat dan kerugian harta benda dapat dikurangkan.-BH Online