Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Wujud keperluan dasar bagi menaikkan umur persaraan daripada 60 kepada 65 tahun bagi sektor swasta dan juga awam di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, keperluan itu didapati hasil Rangka Tindakan Penuaan Nasional yang dijalankan di bawah Kementerian Ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mahu terburu-buru dalam penetapan hal terbabit dan sedang melaksanakan kajian menyeluruh berhubung aspek berkenaan.

“Kajian itu merangkumi aspek kesihatan, produktiviti, peluang kenaikan pangkat pegawai muda dan implikasi fiskal jangka pendek serta panjang.

“Umur persaraan kini masih lagi kekal di usia 60 tahun sebagaimana termaktub dalam Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Akta 239),” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Zaliha berkata, dalam perbincangan dengan CUEPACS, beberapa aspek perlu diteliti dengan lebih lanjut, iaitu perkara berkaitan peningkatan umur persaraan akan dibuat secara berperingkat.

Beliau berkata, selain itu pegawai juga perlu diberi pilihan umur persaraan, pegawai yang memilih untukberpencen pada umur 65 tahun hendaklah lulus pemeriksaan kesihatan serta psikometrik.

“Prinsip melanjutkan usia persaraan juga adalah bagi mengekalkan pegawai yang kompetensi dan benar-benar diperlukan kerajaan,” katanya.

Dr Zaliha berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan yang komprehensif dalam kajian bagi menentukan umur persaraan yang bersesuaian.

Katanya, ia turut mengambil kira aspek kemampuan kewangan kerajaan, sama ada dalam jangka pendek dan panjang.

“Turut diteliti adalah bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah holistik serta seimbang dengan mengambil kira kepentingan negara serta juga kebajikan penjawat awam secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Zaliha berkata, kajian Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) menjangkakan warga emas di ibu kota itu akan meningkat kepada 17.3 peratus pada 2040.

Atas dasar itu katanya, PSKL2040 mencadangkan penyediaan rumah persaraan berdikari, rumah dengan bantuan perubatan dan rumah penjagaan.

Justeru, katanya, sebanyak lapan tapak Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) sudah dikenal pasti, termasuk dua di Bukit Bintang iaitu di Pekan Salak Selatan dan Wayfield Sungai Besi untuk ditawarkan kepada

golongan tidak berkemampuan, termasuk warga emas. 

“Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) turut mencadangkan pembangunan semula perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menambah sekurang-kurangnya 20 peratus unit perumahan mampu milik,”katanya.-BH Online