Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Proses pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya berada di peringkat akhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata hasil kajian berserta cadangan model pemisahan dijangka dibawa untuk diteliti di peringkat Kabinet dalam masa terdekat.

“Dalam isu pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, di mana usaha ini dalam proses pada fasa akhir.

“Kajian perbandingan dengan beberapa negara telah dilakukan dan hasil kajian berserta cadangan model pemisahan akan dibawa ke pertimbangan Jemaah Menteri tidak lama lagi.

“Menurut Perdana Menteri semasa menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) Khamis lepas, mengatakan Insya-Allah pada hujung bulan ini.

“Harapannya keputusan dasar oleh pihak menteri Kabinet dalam pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini.

Mengenai usaha reformasi institusi di bawah Kerajaan MADANI, Azalina berkata Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 serta iltizam untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah reformasi terbesar.

Jelasnya, ini kerana ia membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan persetujuan undi dua pertiga majoriti.

“Jadi saya ingin ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) pada pihak kerajaan dan pembangkang dalam isu Akta Perkhidmatan Parlimen, kita mendapat undi majoriti dua pertiga, juga dalam pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Saya yakin setelah penerangan, keputusan dasar dibuat oleh mesyuarat Kabinet, saya cukup yakin setelah diberikan penerangan, YB kerajaan dan pembangkang akan bersama memberi sokongan kepada kerajaan untuk membawa pindaan kepada perlembagaan ini,” katanya.-BH Online