KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum menerima apa-apa cadangan secara bertulis daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mengenai kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata permohonan agar jururawat daripada Indonesia berkhidmat di negara ini juga masih belum ada.
“Kalau ada, kita sedia untuk mempertimbangkan. Tetapi pada akhirnya saya perlu tekankan sama ada kita luluskan atau tidak, ia bergantung kepada faktor sama ada dari sudut keberkesanan keselamatan dan keperluan.
“Kita (juga) kena kenalpasti dan mengadakan perbincangan dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan sebagainya,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai cadangan pengambilan jururawat daripada Indonesia yang dibuat sebelum ini bagi mengatasi kekurangan jururawat di negara ini.
Sebelum ini, KJRI Johor Bahru mencadangkan satu kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini, sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto berkata, langkah itu merupakan situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.
Sigit optimis langkah ini akan memberi manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat manakala Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.
Dzulkefly berkata, bukan satu perkara mudah untuk mengambil tindakan segera berhubung cadangan pengambilan jururawat daripada Indonesia itu.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui, negara ini menghadapi kekurangan jururawat dan sedang mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya.
“Kita akui, kita kekurangan jumlah jururawat kira-kira 5,000 untuk keperluan segera,” katanya.-BH Online