KUCHING: Isu penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak termasuk dalam konteks dasar pendidikan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tuntutan itu antara perkara utama yang akan dibentangkan oleh wakil Sarawak dalam mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, ia termasuk aspek dasar pendidikan yang menjadi kekangan utama pelaksanaan pengajaran menggunakan bahasa Inggeris ketika ini.
“Esok saya akan mendengar laporan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal MA63 dan salah satu perkara yang dibawa ialah berhubung bidang pendidikan yang dituntut oleh Sarawak.
“Sudah tentu antara cabarannya ialah dasar nasional, khususnya dasar bahasa yang menetapkan keseragaman dalam sistem pendidikan negara,” katanya ketika ditemui selepas Program Bicara Eksekutif MADANI di Dewan Utama Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, perbincangan mengenai isu terbabit bertujuan mencari kaedah untuk memudahkan Sarawak melaksanakan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris.
Menurut beliau, antara pendekatan mungkin diambil adalah mengekalkan dasar sedia ada, tetapi memperkenal penambahbaikan atau pengkhususan tertentu untuk Sarawak.
“Kalau ada yang beralih terus daripada dasar kebangsaan, mungkin keseragaman pendidikan di peringkat nasional akan terjejas.
“Jadi, mungkin kita kekalkan dasar asas tetapi buat penambahan bersesuaian dengan keperluan Sarawak,” katanya.
Ditanya sama ada isu ini berkait program dwibahasa (DLP) yang sedang dilaksanakan di Sarawak, Fadillah tidak menolak kemungkinan perkara itu antara yang bakal diperhalusi dalam mesyuarat berkenaan.
Ketika ditanya mengenai permintaan autonomi pendidikan oleh Sarawak, beliau menegaskan ia bukan soal menyerahkan kuasa sepenuhnya, sebaliknya memberi pertimbangan terhadap tahap autonomi yang sesuai.
“Autonomi pendidikan yang diminta itu bukan sepenuhnya, tetapi setakat mana yang boleh diberi, akan diputuskan dalam mesyuarat esok,” katanya.
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 itu juga dijangka turut membincangkan beberapa isu lain selain pendidikan antaranya termasuk penubuhan Pusat Kanser Sarawak serta keperluan infrastruktur kesihatan lain di negeri itu yang kini dalam proses semakan dan pelaksanaan secara berperingkat.
Mesyuarat MA63 adalah platform utama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah serta Sarawak untuk menyemak semula pelaksanaan hak-hak negeri di bawah perjanjian pembentukan Malaysia.-BH Online