Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TUMPAT: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti lebih 1,000 lokaliti di seluruh negara, yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi atau ‘black spot’ yang memerlukan penambahbaikan segera daripada segi infrastruktur dan keselamatan jalan raya.

Menterinya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, berkata penilaian itu dibuat hasil daripada analisis data apabila kebanyakan kawasan berkenaan membabitkan jalan persekutuan, selekoh tajam, sistem pencahayaan yang tidak mencukupi serta permukaan jalan yang rosak.

Beliau berkata, baru-baru ini sebanyak 300 lampu solar dipasang di sepanjang jajaran Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan berisiko tinggi yang sering mengalami kemalangan akibat keadaan gelap.

“Bagaimanapun, pemasangan lampu solar ini dibuat secara berfasa bermula dengan lokasi-lokasi mendesak dan kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘black spot’ iaitu lokasi kerap berlaku kemalangan terutamanya pada waktu malam.

“Kita belum mempunyai dana yang mencukupi untuk mencerahkan keseluruhan jajaran jalan. Oleh itu, kita pilih lokasi-lokasi strategik di sepanjang sesuatu laluan untuk dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Feri Sri Tanjong 1 di JKR Feri Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Amirut Bua-On dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, pemasangan lampu solar ini dilihat memberi impak positif apabila berfungsi dengan baik sejak ia siap dipasang JRTB) Gerik-Jeli untuk keselamatan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.

“Justeru, pihak kami sedang berusaha untuk mendapatkan tambahan dana daripada Kementerian Kewangan bagi memperluaskan inisiatif ini.

“Kami berharap supaya lebih banyak peruntukan diberikan dalam bajet pada masa akan datang agar pemasangan lampu solar ini dapat dirancakkan lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Feri Sri Tanjong 1 yang diluncurkan semalam adalah satu mercu kejayaan dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan negara dengan kos pembinaan sebanyak RM7.90 juta.

Katanya, feri baharu ini menggantikan feri sedia ada yang sudah beroperasi selama 34 tahun. 

“Dengan pengoperasian Feri Sri Tanjong 1, KKR terus komited untuk memastikan rakyat menerima manfaat daripada projek-projek yang dilaksanakan melalui penyediaan perkhidmatan pengangkutan air yang lebih selesa, selamat dan efisien.

“Pada masa yang sama, ia turut membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan jaringan pengangkutan strategik yang menyambungkan sempadan negara, di samping mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand,” katanya.

Katanya, perkhidmatan feri yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai di Selatan Thailand ini bukan sekadar pengangkutan fizikal, malah menjadi nadi penyatuan dua komuniti rentas sempadan dalam memperkukuhkan perdagangan serta menyuburkan hubungan budaya.-BH Online