KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan Malaysia bingkas beralih daripada sekadar menjadi pengguna kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bertaraf dunia.
Ketika membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Perdana Menteri berkata, berdasarkan aspirasi itu, ia memerlukan negara untuk membulatkan tekad bagi mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi.
Beliau berkata, peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bertaraf dunia itu boleh dilaksanakan dalam pembangunan aset digital strategik, antaranya kecerdasan buatan (AI), data analitik dan sistem digital kerajaan.
Katanya, aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) juga akan dipergiat bagi meningkatkan produk serta perkhidmatan berasaskan ‘Made by Malaysia.
“Malaysia mahu bangkit sebagai ekonomi Asia dan dikenali dengan identiti sendiri yang mengangkat akar budaya dan hikmah Timur.
“Menjelang 2030, aspirasi Malaysia adalah untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, semua langkah itu penting bagi memperkukuh daya saing ekonomi negara, selain membangunkan industri yang lebih mampan dan berimpak tinggi selaras hasrat menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan.
“Hari ini, peluang generasi atau ‘generational opportunity’ dalam AI berada di hadapan mata dan tidak harus dilepaskan.
“Malaysia menetapkan hala tuju yang jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu dengan aspirasi untuk muncul sebagai pemain berpengaruh pada peringkat global,” katanya.-BH Online