Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia menerima pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang dibuang sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata KPM sentiasa bersedia menerima sesiapa saja pelajar untuk memasuki aliran sistem pendidikannya kerana tugas mendidik sememangnya di bawah tanggungjawab kementerian.

“Kalau dihantar ke sekolah kita kena terimalah kerana itu tanggungjawab kita dan komitmen kita dan kita sentiasa bersedia untuk menerima siapa saja anak-anak kita untuk dididik. 

“Jadi saya rasa tidak timbul isu kita tidak memberi peluang atau menolak mereka tetapi kita ambil atas dasar tanggungjawab,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah malam tadi bagi menunggu ketibaan Orkestra Sekolah Seri Puteri (SSP), Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) yang memenangi Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia ke-11 di Vienna, Austria.

Fadhlina diminta mengulas mengenai kedudukan enam pelajar sebuah MRSM di Melaka yang dibuang sekolah kerana terbabit dalam kes buli, minggu lalu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu diambil selepas pihak Jawatankuasa Disiplin MRSM yang bersidang dan menjalankan siasatan mendapati enam pelajar berkenaan terbabit dalam kegiatan berkenaan.null

KPM serah kepada polis kes pelajar tumbuk guru

Dalam pada itu mengulas isu pelajar Tingkatan Dua yang didakwa menumbuk seorang guru di sebuah sekolah menengah di Kajang, beliau berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasat.

Menurutnya, biarpun KPM ada peraturan dalam menangani insiden di sekolah, namun apabila pihak berkuasa seperti polis sudah mengambil alih siasatan, kementerian akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa. 

Fadhlina mengulas insiden seorang guru didakwa ditumbuk murid yang berang selepas ditegur ponteng kelas pendidikan jasmani petang kelmarin. 

Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM akan memberi tumpuan dengan memberikan bantuan kaunseling guru terbabit. 

Media semalam melaporkan guru lelaki berusia 29 tahun berkenaan membuat laporan polis jam 7.15 malam pada hari kejadian.

Kejadian disaksikan beberapa guru dan pelajar lain, turut tular di media sosial. 

Murid berusia 14 tahun itu ditahan kelmarin disekitar Kajang dan direman dua hari, selain kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Polis mendapat arahan pertuduhan kes itu dibuat di Mahkamah Kajang hari ini.-BH Online