PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.
Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.
“Ia termasuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah satu dan dua bagi pihak Thailand dan wilayah empat serta lima bagi pihak Kemboja bermula jam 7 pagi, 29 Julai 2025.
“Selain itu, mesyuarat bersama atase pertahanan yang akan dipengerusikan ASEAN akan diadakan jika dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Anwar berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) pada 4 Ogos ini yang akan dihoskan oleh Kemboja.null
Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju menyambung semula komunikasi secara langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan masing-masing.
“Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand diarahkan untuk membangunkan mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan berkaitan gencatan senjata.
“Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan kebertanggungjawaban bersama,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemantau bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata.
Jelasnya, Malaysia juga akan berunding dengan negara anggota ASEAN lain untuk turut serta dalam usaha pemantauan ini, mencerminkan komitmen serantau dalam menyokong keamanan di lapangan.
“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengembalikan keadaan kepada normal,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menghubungi kedua-dua pemimpin berkenaan dan menggesa supaya penyelesaian secara aman dicapai.
“Pihak China pula terus menjalin hubungan rapat dengan Kemboja, Thailand, Malaysia serta negara berkaitan lain untuk menggalakkan dialog, gencatan senjata dan pemulihan keamanan.
“Kehadiran dan kerjasama semua pihak mencerminkan komitmen bersama terhadap keamanan, dialog dan kestabilan serantau,” katanya.
Terdahulu, Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi mempengerusikan mesyuarat khas antara kedua-dua pemimpin negara itu bermula pada jam 3.15 petang dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Sesi itu turut disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Anwar, pada minggu lalu mencadangkan satu perjanjian damai antara kedua-dua pihak susulan konflik sempadan yang tercetus baru-baru ini.
Ketegangan mula meningkat sejak insiden pada 28 Mei apabila pasukan tentera Kemboja dan Thailand bertempur di kawasan Preah Vihear.
Selama beberapa dekad, kedua-dua negara anggota ASEAN itu terbabit dalam pertikaian berpanjangan berkaitan sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum dimuktamadkan.
Namun, situasi bertukar menjadi konflik berdarah di utara Kemboja minggu lalu.
Di sepanjang sempadan dalam wilayah Kemboja, krisis kemanusiaan semakin meruncing dengan lebih 80,000 penduduk terpaksa dipindahkan susulan pertempuran yang berlarutan hujung minggu lalu.
Menurut Kementerian Pertahanan Negara, lima anggota tentera dan lapan orang awam terkorban setakat ini.-BH Online