KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mencadangkan satu dialog khas diadakan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) dan persatuan sukan tempur kebangsaan bagi mencari penyelesaian isu buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Katanya, pendekatan hukuman seperti penggantungan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya pelajar terbabit perlu diberi bimbingan dan ruang untuk menyalurkan tenaga mereka melalui aktiviti berstruktur seperti sukan tempur.
“Saya berhasrat mengadakan dialog bersama KPM dan persatuan sukan tempur berkaitan kes buli di sekolah. KPM (lazimnya) akan mengambil tindakan menggantung pelajar yang terlibat, (namun) saya nak ingatkan bahawa kita jangan berputus asa dengan kanak-kanak itu.
“Kita boleh membimbing mereka dan salurkan tenaga mereka untuk bersukan. Sukan tempur ada undang-undang dan kita nak mereka belajar, buli dan tindakan ganas kepada pelajar lain adalah tidak wajar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2025, di sini semalam.
Kejohanan yang bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini menghimpunkan lebih 2,000 atlet dari seluruh negara yang bertanding dalam lima disiplin utama sukan tempur, iaitu silat, wushu, karate do, Muay Thai dan gusti.
Hannah berkata, sukan tempur bukan sahaja membina kekuatan fizikal, tetapi juga membentuk disiplin dalam kalangan anak muda untuk melatih mereka mengawal emosi dan tindakan.
Beliau turut yakin platform sukan berperanan besar dalam membantu pelajar mengenal potensi diri, terutamanya bagi mereka yang masih mencari minat dan bakat sebenar dalam diri sendiri.
“Daripada tontonan (acara sukan) itu, akan lahir rasa minat untuk mencuba. Kalau tak cuba, tak tahu mereka ada bakat atau tidak,” katanya.
Hannah percaya setiap pelajar yang mendapat bimbingan betul sejak di bangku sekolah mampu mencorak masa depan cemerlang, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada aset kemajuan negara.-BH Online
