KUALA LUMPUR: Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara mulai tahun ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program itu adalah usaha strategik untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu, inklusif, dan bertanggungjawab.
Tegasnya, pelaksanaan GRIP selaras dengan Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang meletakkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan integrasi sosial, dan pembentukan masyarakat inklusif sebagai teras utama negara.
“GRIP disusun mengikut tiga kluster utama termasuk Kluster Kenegaraan yang memfokuskan kepada pemahaman sejarah pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Bagi Kluster Budaya dan Adat Resam pula bertujuan memperkenalkan makanan tradisi, pakaian, perayaan, seni rakyat dan permainan tradisional pelbagai etnik manakala Kluster Nilai-Nilai Murni bagi menanam nilai sivik dan moral dalam konteks sosial dan kewarganegaraan inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan perpaduan nasional harus dipupuk sejak dari peringkat generasi muda kerana mereka adalah tunjang masa depan negara.
“Dalam usaha memperkukuh semangat perpaduan di kalangan pelajar dan warga pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah membangunkan Indeks Perpaduan Sekolah sebagai ukuran keberkesanan pelbagai inisiatif perpaduan di sekolah.
“Indeks ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan yang mana skor perpaduan sekolah meningkat daripada 6.27 pada 2021 kepada 7.10, pada 2022, dan seterusnya memcatatkan 7.51 pada 2023.
“Peningkatan ini menandakan kesan positif dan keberhasilan usaha kolektif dalam memperkukuh integrasi sosial serta nilai perpaduan dalam kalangan pelajar dan warga pendidik di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, satu daripada syor utama yang digariskan dalam Laporan Indeks Perpaduan Sekolah 2022 ialah keperluan untuk memperkasakan aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik, sebagai langkah strategik memperkukuh perpaduan.
“Program GRIP berteraskan modul silang budaya mengutamakan pembelajaran interaktif dan pengalaman langsung, dengan fokus kepada nilai-nilai kenegaraan, adat dan warisan budaya, serta nilai sivik dan moral.
“Inisiatif ini menggabungkan intipati utama program perpaduan sedia ada seperti Program Kenali Kita, Kem Perpaduan Anak Malaysia dan program silang budaya, dengan harapan membentuk pelajar sebagai ejen perpaduan dalam sekolah dan komuniti mereka,” katanya.-BH Online