KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mendapat durian runtuh menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26 selepas menerima peruntukan RM1 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Insentif itu diumumkan sendiri oleh Anwar ketika berucap pada Sambutan Jubli Emas KLFA, sebentar tadi.
“Ini satu-satunya acara yang saya hadiri di mana tidak orang meminta dana.
“Jadi saya ucapkan terima kasih dan walaupun tidak memohon (dana), saya berikan RM1 juta,” kata Anwar.
Dalam majlis sama, Anwar turut melancarkan logo baharu pasukan KL City FC dan juga jersi baharu pasukan untuk musim 2025/26.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut memuji pendekatan KLFA untuk menghidupkan semula legasi mereka dan terus mengukuhkan asas akar umbi mereka.
Anwar jelas mengiktiraf usaha dilakukan Penaung KLFA yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar dan turut menyatakan komitmen ditunjukkan menggambarkan visi jangka masa yang melangkaui sukan.
“Saya pernah katakan bahawa jangan terlalu fokus tetapi apabila membabitkan fasiliti, kita boleh membantu mengembangkan sukan khususnya bola sepak.
“Ini kerana ia membabitkan banyak pihak dan diikuti ramai orang,” katanya.-BH Online