Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses pelantikan kehakiman perlu dihormati semua pihak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta bidang kuasa yang ditetapkan.
Mengulas penganjuran perhimpunan berkaitan isu kehakiman yang dijadualkan Isnin ini, Perdana Menteri berkata, ia keputusan kumpulan terbabit namun proses pelantikan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.
“Itu keputusan dia (penganjur perhimpunan) tapi kita sudah jelaskan, Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) sudah jelaskan, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasik Inatitusi) Datuk Seri Azalina Othman Said jelaskan, malah Yang di-Pertuan Agong pun sudah jelaskan.
“Jadi kita ikutlah proses dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di sini, hari ini.
Majlis Peguam sebelum dilaporkan akan mengadakan perarakan aman pada 14 Julai ini dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum penting yang menuntut tindakan segera bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab, dilaporkan berkata perarakan itu manifestasi kebimbangan semakin serius terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan serta dakwaan gangguan dalam urusan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata jika ada pihak berhasrat mengubah mekanisme pelantikan kehakiman, ia perlu dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau (ada pihak) rasa nak pinda, cadangkan pindaan Perlembagaan. Tapi bidang ini kita ikut proses yang diamalkan selama ini,” katanya.
Katanya, sepanjang lebih dua tahun menerajui pentadbiran, beliau tidak pernah mencampuri urusan kehakiman.
“Seperti mana saya sebut, saya lebih dua tahun setengah tidak pernah campur urusan keputusan mahkamah, itu yang saya ingat.
“Penting soal proses pelantikan seperti mana diperuntukkan dalam Perlembagaan dan juga bidang kuasa masing masing,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa bersama 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim Presint 15 di sini.
Beliau bersama jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk ‘Mengimani Qadar, Rahsia Berjiwa Besar’.
Solat Jumaat diimamkan oleh Imam Ustaz Saiful Ashraf Shahrol Bahrin.
Usai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna ungu sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar.-MyMetro Online