Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: ASEAN mesti berpegang teguh kepada komitmennya dalam menjamin dan melindungi hak asasi manusia, yang menjadi komponen asas dalam usaha membina komuniti rantau ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia sejajar visi ‘ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama’ yang kini memasuki fasa integrasi, selepas diadaptasi negara anggota pada Mei lalu, yang mengiktiraf pemerkasaan dan perlindungan hak asasi manusia.

“Aspirasi kita untuk ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berorientasikan rakyat hanya akan bermakna jika kita terlebih dahulu memastikan hak dan maruah rakyat kita terpelihara.

“Integrasi serantau yang sebenar hanya boleh dicapai jika ASEAN memperkasa rakyatnya supaya mereka dapat bersama-sama menikmati hasil kemakmuran bersama, pertumbuhan yang saksama dan keadilan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan pada Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Laporan Tahunan 2025 yang dikemukakan wakil AICHR pada mesyuarat berkenaan akan memberi peluang kepada Menteri Luar ASEAN untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai pencapaian, cabaran serta hala tuju AICHR dalam memperkasa hak asasi manusia di rantau ini.

Beliau juga berharap, usaha dan mekanisme dilaksanakan AICHR terus berkembang, memperkukuh keupayaannya untuk menghasilkan impak yang bermakna dan menggalakkan pembabitan yang signifikan, sambil mengekalkan pemusatan dan perpaduan ASEAN.

“Usaha ini kunci kepada kemajuan hak asasi manusia dan kerjasama serantau, selaras dengan komitmen nasional dan antarabangsa negara anggota ASEAN.

“Usaha kita untuk memelihara dan melindungi kesejahteraan rakyat kita harus terus diterajui dan dimiliki oleh ASEAN sendiri. 

“Ia harus mencerminkan nilai dan norma negara anggota dan pada masa sama, memastikan keselarasan dengan Piagam ASEAN dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD),” katanya.-BH Online