KLANG: Kerajaan negeri Selangor dijangka memulakan ekonomi kitaran selewat-lewat dua tahun dari sekarang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sudah memulakan projek rintis iaitu projek SelKitar dan Program Kitar Semula Sisa Elektronik dalam usaha meluas pembangunan ekonomi itu dalam kalangan rakyat.
“Selepas ini kita bina sistem ini secara berperingkat kerana isunya bagaimana keseluruhan ekosistem itu ditubuhkan dan (berfungsi).
“Ia bukan sekadar aktiviti kitar semula dapat duit RM5 ke RM6, bukan begitu.
“Ekonomi kitaran ini dijangka dimulakan di kawasan bandar antaranya kawasan Lembah Klang Raya iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam yang akan menjadi ‘test bed’ (lokasi ujian) penting serta sesuai dengan kehidupan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kempen Bebas Plastik Siri 2 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Ekonomi kitaran merujuk kepada penggunaan semula, pengitaran semula, pengitaran tinggi dan pengubahsuaian tujuan bahan dan produk selama mungkin sebelum melupuskannya sebagai sisa untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar, penyusutan sumber asli dan meningkatkan nilai ekonomi serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Pada 6 Ogos tahun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia (2025-2035) untuk memberi panduan kepada pemegang taruh menginstitusikan transformasi ke arah pembangunan ekonomi kitaran.
Menterinya, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, pelan tindakan itu akan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi kitaran sisa pepejal menerusi lima paksi utama iaitu tadbir urus dan perundangan, garis panduan dan prosedur, pendigitalan dan teknologi, infrastruktur dan kemudahan serta pewujudan pasaran.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri dalam fasa akhir meminda Undang-Undang Kecil (UUK) membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya Hari Tanpa Beg Plastik boleh dilaksanakan secara meluas di Selangor.
Menurutnya, semua PBT akan dipanggil untuk diberi taklimat terlebih dahulu sebelum usul meminda UKK dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang. – BERNAMA