Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 1 Julai– Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menjadi tuan rumah kepada dua forum penting ASEAN yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata forum tersebut ialah ‘ASEAN Multi-stakeholder Dialogue on the ASEAN Master Plan on Rural Development’ dan’ ASEAN+3 Forum on Women and Digitalization’, yang akan menghimpunkan pelbagai pemegang taruh dari negara-negara serantau.

“Saya harap, kita jadikan platform ini sebagai medan untuk kita mengetengahkan amalan terbaik kita dan membawa agenda pembangunan desa Malaysia sebagai aspirasi serantau.

“Malaysia menjadi contoh untuk seluruh negara ASEAN, ini yang kita mahukan,” katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan KKDW, di sini pagi tadi.

Selain itu, KKDW akan menganjurkan Karnival Mega 3 Dimensi yang menghimpunkan tiga acara utama secara serentak, iaitu Karnival Usahawan Desa, Hari Peneroka FELDA dan Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

“Ia merupakan satu lagi anjakan besar dan usaha strategik untuk mengangkat usahawan desa serta memperkukuh ekosistem keusahawanan luar bandar ke peringkat nasional dan global,”katanya.

Penganjuran forum dan inisiatif seperti itu mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai peneraju dalam membentuk dasar pembangunan desa dan pemerkasaan wanita di rantau ini, seiring komitmen Kerajaan MADANI dalam memperjuangkan kesejahteraan seluruh rakyat.-Berita RTM