BAYAN BARU, 1 Julai- Kerajaan negeri Pulau Pinang terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan sektor reka bentuk cip, dengan sokongan peruntukan sebanyak RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelaburan itu dilaksanakan melalui penubuhan Pusat Penyelidikan dan Inkubasi Silikon yang bertujuan menggalakkan syarikat tempatan menembusi pasaran global dalam bidang reka bentuk cip dan teknologi berkaitan.
Jelasnya, langkah tersebut akan memberi nilai tambah kepada Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Lembah Silikon Malaysia dan terus berperanan sebagai tunjang utama industri elektronik serta semikonduktor negara.
“Ini satu bidang yang kita mahu galakkan dan majukan supaya negeri Pulau Pinang bukan sekadar berhenti di peringkat pembuatan, tetapi turut melangkah ke arah advanced packaging dan reka bentuk cip (IC design).
“Semua ini adalah satu permulaan yang amat penting. Tanpa permulaan ini, kita mungkin tidak dapat mencipta kejayaan besar bagi Malaysia dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penang Silicon Research & Incubation Space dan Pelancaran Cip “Made by Malaysia” di GBS Tech Space, hari ini.
Tambah beliau, Akademi Rekabentuk Cip dijadualkan dilancarkan minggu hadapan, manakala Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital pula dijangka mula beroperasi pada Ogos depan.-Berita RTM