Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji perkhidmatan Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini.

Perdana Menteri yang meninjau dan merasai sendiri pengalaman menaiki kemudahan itu menyifatkannya lebih baik berbanding dahulu.

“(Aerotrain) amat baik, lebih laju berbanding dahulu,” katanya ringkas ketika ditemui selepas meninjau Aerotrain yang sudah dinaik taraf dan mula beroperasi semula sepenuhnya pagi ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. 

Selepas tertangguh selama 28 bulan perkhidmatan tren tanpa pemandu yang moden itu sudah melalui proses naik taraf bernilai RM456 juta di bawah Pelan Regenerasi Lapangan Terbang oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang bertujuan mempersiapkan KLIA untuk masa hadapan sebagai hab penerbangan utama di rantau ini. 

Aerotrain yang sinonim dengan KLIA sejak 1998 kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R berteknologi tinggi.

Setiap unit tren tiga gerabak itu mampu membawa sehingga 270 penumpang dan bergerak pada kelajuan sehingga 56 kilometer sejam, memendekkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada kurang tiga minit. 

Tren baharu itu turut dilengkapi sistem pemantauan keadaan canggih, yang direka untuk mengurangkan gangguan perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan operasi, sekaligus menambah keselesaan kepada penumpang. 

Sebelum ini, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, dilaporkan berkata sistem itu sudah menjalani proses ujian dan pentauliahan selama enam bulan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dari Januari hingga Jun lalu, termasuk penilaian teknikal serta keselamatan yang menyeluruh. 

Terminal 1 KLIA kini mencatat lebih 100,000 pergerakan penumpang setiap hari. 

Aerotrain memainkan peranan penting sebagai penghubung, khususnya untuk penumpang transit antarabangsa yang berlepas atau tiba melalui terminal satelit yang menempatkan kebanyakan syarikat penerbangan jarak jauh.-BH Online