KUALA LUMPUR: Seramai 222 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini disahkan menghidap HIV tahun lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata sebahagian mereka dikesan mendapat jangkitan seawal usia 18 dan 19 tahun.
Menurutnya, jumlah keseluruhan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar IPT dari 2020 hingga 2024 adalah seramai 1,091 orang.
“Pada tahun lalu, kita mencatatkan 222 jangkitan yang baharu (dalam pelajar IPT) daripada 3,185 jumlah keseluruhan jangkitan pada tahun lalu.
“Ini bermaksud, aktiviti-aktiviti (berisiko) ini sudah pun berlangsung lebih awal,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Lukanisman berkata, sebagai langkah pengurangan kemudaratan, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang dilancarkan di beberapa fasiliti kesihatan dan sudah menunjukkan kejayaan.null
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa KKM berdepan cabaran besar untuk menyediakan akses ujian saringan kendiri kepada remaja di bawah umur.
“Apa yang menjadi satu permasalahan ketika ini adalah akses kepada ujian kendiri bagi remaja-remaja di bawah umur, di mana kita tidak mempunyai satu perundangan khusus.
“Kita memerlukan kebenaran ibu bapa untuk menjalankan ujian kendiri dan juga kebenaran untuk mendapatkan rawatan. Ini agak menyukarkan remaja-remaja yang ingin tampil ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor HIV, STI dan Hepatitis C, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Fazidah Yuswan berkata, setakat hujung 2024, terdapat 36 peratus atau 29,941 penghidap HIV masih belum dikesan di seluruh negara.
Justeru, katanya, KKM sedang mempergiatkan aktiviti ujian kendiri dalam kalangan komuniti terpinggir bagi mengesan baki individu yang hidup dengan HIV.
“Sekiranya mana-mana mereka yang berisiko tidak mahu tampil ke fasiliti klinik kesihatan yang sedia ada, mereka boleh mendapatkan kit ujian kendiri HIV melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Aids Malaysia atau farmasi komuniti.
“Dalam kit itu disertakan panduan di mana mereka akan diminta untuk membuat penilaian risiko dan langkah susulan untuk memastikan mereka tidak dijangkiti HIV atau menjangkiti orang lain,” katanya.-BH Online