Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Jerman, merangkumi kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
Anwar ketika menerima kunjungan perpisahan Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer di pejabatnya di Putrajaya berkata, hubungan menyeluruh antara kedua-dua negara diyakini mampu mempererat hubungan rakyat serta menyumbang kepada kemajuan bersama yang mampan.
“Selain memperluas peluang perdagangan dan pelaburan, kerjasama dalam bidang pendidikan – termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) – serta pertukaran budaya, ia dapat memupuk persefahaman dan menghargai kepelbagaian,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau.
Malaysia dan Jerman telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 dan hubungan itu terus berkembang menerusi kerjasama dalam pelbagai sektor strategik.
Jerman kekal menjadi rakan dagang terpenting Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU) dan antara pelabur asing utama dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi tinggi.-MyMetro Online