Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa Selasa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.

Tegasnya, pemandu perlu memastikan kesemua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.

“Sebelum ini kita mengambil pendekatan advokasi, namun bermula 1 Julai ini kita akan melaksanakan secara tegas.

“Sekiranya pemandu gagal memberi peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang berkenaan, bukan hanya penumpang yang akan disaman sebalik pemandu dan syarikat pengendali bas turut dikenakan saman.

“Jika pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang, namun penumpang masih berdegil untuk memakai tali pinggang keledar, saman hanya akan diberikan kepada penumpang. Namun kita akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesahkan sama ada peringatan sudah dibuat atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, JPJ sudah mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan pengendali syarikat bas bagi memaklumkan perkara berkenaan.

“Kita sudah mengeluarkan garis panduan kepada mereka supaya arahan yang diterima jelas dan selepas ini kita tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang dilakukan.

“Justeru saya mengingatkan semua syarikat pengendali bas dan penumpang supaya mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya.-BH Online