KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tugas sebagai Ketua Polis Negara (KPN) bukan anugerah sebaliknya sebagai satu tanggungjawab dan amanah kepada negara.
“Tugas khalifah memakmurkan, perlu ada tanggungjawab dan dipertanggungjawab atau akauntabiliti.
“Justeru, kita meletakkan tugas dan amanah yang menjadi Ketua Polis Negara datang dengan tanggungjawab, amanah, bukannya anugerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Undur Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis itu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menerima tugas sebagai Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.
Saifuddin berkata, keputusan melantik Mohd Khalid secara kontrak hingga 22 Jun 2027 dibuat berdasarkan kompetensi dan pengalaman luas beliau dalam bidang kepolisan.
Pelantikan secara kontrak selama dua tahun itu diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Mohd Khalid, 60, dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan memperoleh Ijazah Sarjana Perundangan Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau menyertai PDRM pada 5 April 1987 dan memulakan tugas di Cawangan Khas, Bukit Aman. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menjawat beberapa jawatan utama termasuk Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dan Pegawai Perhubungan Keselamatan di London.
Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 10 April 2023 sebelum bersara wajib 8 April 2025, namun perkhidmatannya disambung secara kontrak hingga kini.-BH Online