PETALING JAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan membangunkan projek perumahan di atas stesen kereta api sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, cadangan berkenaan sedang diteliti bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pelaksanaannya memerlukan beberapa pindaan peraturan yang sedang diusahakan.
“Maknanya, ia (projek perumahan rakyat) dibangunkan di atas (stesen kereta api). Perumahan komersial, tak semuanya perumahan rakyat tetapi sebahagiannya.
“Ini (cadangan membina projek perumahan di atas stesen kereta api) yang akan dilakukan (bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas),” katanya ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Enam: Prasarana Malaysia Bhd di sini, malam ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datuk Prof Dr Ahmad Fargan Mohd Sadullah.
Sementara itu, Anwar berkata, pembinaan sekolah vertikal seperti diperkenalkan dalam Kota MADANI akan dibangunkan dengan syarat keselamatan yang ketat dengan reka bentuknya lebih baik berbanding sekolah sedia ada.
“Mengenai sekolah vertikal, mula-mula ibu bapa khuatir, takut (murid) jatuh. Mereka mendiami rumah pangsa tak mengapa pula, tetapi sekolah (vertikal) tak boleh, saya pun tak faham juga
“Kota MADANI di Putrajaya memang (akan diperkenalkan) sekolah vertikal dan parkir semua di bawah, aras perumahan memang betul-betul ‘garden’ (taman), manakala sekolah di atas.null
“Sekolah kalau ada lif ia akan jadi lif khusus untuk sekolah sahaja, jadi anda boleh jalan dari tingkat 14 ke bawah untuk tadika atau sekolah, tetapi syaratnya (pembinaan) ketat,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan Kota MADANI di Pulau Pinang pula akan membabitkan 10,000 unit perumahan di Seberang Jaya dan Batu Kawan, masing-masing di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah.
“Ia termasuk sekolah vertikal, balai bomba, klinik yang semuanya di sekeliling situ jadi orang tak perlu bayar kos (pengangkutan).
“Nanti MRT tak laku sebab orang tak pakai, ini boleh mengurangkan beban pengangkutan awam,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Sementara itu, Loke berkata, pihaknya bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti cadangan mengurangkan atau memansuhkan ruang parkir di rumah pangsapuri yang dibina berdekatan stesen kereta api.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan syor itu memerlukan pindaan beberapa dasar sedia ada dengan perkara berkenaan masih belum diputuskan.
“Jika syor ini dilaksanakan, pembeli akan menikmati penjimatan yang banyak, selain ia dapat membantu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.-BH Online