Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ipoh: Kerajaan Negeri Perak sedang meneliti secara menyeluruh keperluan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara berkenaan dibangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak baru-baru ini, namun ada perkara yang perlu diperhalus dengan lebih komprehensif.

Beliau berkata perkara itu juga telah diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak A Sivanesan untuk diteliti. 

“Saya telah bercakap kepada beliau (Sivanesan) tentang perkara ini kerana satu kajian mendalam daripada aspek kesihatan, namun ada beberapa perkara lain yang perlu diperhalus.

“Selain itu, kita juga ada dapat permintaan daripada persatuan peniaga vape untuk diadakan perjumpaan, jadi ada perkara yang perlu kita tengok sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sandrea Ng Shy Ching dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Mohd Azlan Helmi Helmi. 

Saarani berkata kajian itu diharap dapat dibentangkan dalam MMK akan datang meliputi keseluruhan aspek sama ada kesihatan, termasuk kesan kepada peniaga vape itu sendiri. 

Sebelum ini, Saarani berkata sebarang keputusan larangan penjualan vape dijangka diputuskan pada 28 Mei lalu dan kerajaan negeri akan mengambil kira pandangan peniaga, ibu bapa, pendidik serta pihak Jabatan Mufti.-MyMetro Online