KUALA LUMPUR: Malaysia bukan saja bersedia untuk penganjuran ‘Smart City Expo Kuala Lumpur 2025’ (SCEKL25) yang akan diadakan pada 17 hingga 19 September 2025, malah bersedia menerajui pembangunan Bandar Kecerdasan Buatan (AI) di ASEAN.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pada masa ini, terdapat beberapa bandar raya di negara ini sudah melaksanakan usaha menjadi bandar pintar.
Justeru, katanya dengan adanya ekosistem dan infrastruktur, Malaysia bukan saja bersedia untuk menjadi tuan rumah SCEKL25, negara ini juga bersedia untuk menerajui pembangunan Bandar AI di seluruh ASEAN.
Jelasnya, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia sedang giat memajukan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang bertujuan untuk membuka potensi utama ekonomi digital sebanyak AS$2 trilion menjelang 2030 melalui pelaburan rentas sempadan, akses pasaran dan peraturan digital yang diselaraskan.
“Penganjuran SCEKL25 adalah sebahagian daripada agenda kepimpinan yang lebih luas ini. Ia meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk inovasi bandar pintar, kerjasama awam-swasta, dan pembangunan digital inklusif,” katanya pada pelancaran rasmi kira detik 100 hari ke SCEKL25, di sini, hari ini.
SCEKL25 adalah edisi pertama Asia Tenggara bagi ‘Smart City Expo World Congress Barcelona’ yang terkenal di dunia.
Dengan tema ‘Bandar AI: Membentuk Masa Depan Digital Kita’, SCEKL25 mencerminkan wawasan berani Malaysia untuk membina bandar pintar, inklusif dan mampan yang dikuasakan oleh teknologi termaju.
Ekspo yang dianjurkan secara bersama antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi Kementerian Digital, akan menghimpunkan pemimpin global, pelabur, inovator teknologi dan penggubal dasar untuk meneroka bagaimana AI dan teknologi baharu membentuk semula kehidupan bandar di seluruh ASEAN.
Diterajui oleh empat tonggak strategik — Bandar AI, Bandar Mampan dan Berdaya Tahan, Keusahawanan Digital dan Pembangunan Ekonomi, dan Pemerkasaan Komuniti melalui Penyelesaian Digital — SCEKL25 menggariskan peranan utama Malaysia dalam memajukan pembangunan bandar pintar.
Ia sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi Negara Pintar menjelang 2040, seperti yang digariskan dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4).
Gobind berkata, SCEKL25 akan mengumpulkan lebih 10,000 delegasi, 300 peserta pameran, dan peserta dari lebih 20 negara.
Beliau berkata, ia akan berfungsi sebagai platform untuk kerjasama dasar-ke-projek, pembabitan pelabur, pameran teknologi dan penyelesaian bandar dunia sebenar — daripada mobiliti pintar kepada sistem unjuran tenaga.
“Kami berbangga mendapat sokongan jenama global seperti Dell, Intel, Ericsson dan Huawei, serta persatuan utama termasuk Malaysia Smart Cities Alliance (MSCA), Smart Cities Network, The Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Malaysia PropTech Association.
“Lebih daripada sekadar acara, SCEKL25 direka untuk menyampaikan hasil sebenar – daripada perkongsian awam-swasta yang lebih kukuh dan pelaburan serantau kepada peluang baharu untuk usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh Malaysia,” katanya.-BH Online