OSAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, hari ini berkata Malaysia mendapat tawaran daripada Kerajaan Arab Saudi untuk membantu dalam penganjuran Ekspo 2030 Riyadh.
Fadillah berkata, tawaran itu diusulkan oleh Duta Besar Arab Saudi ke Jepun, Ghazi Faisal Binzagr, ketika lawatan beliau ke Pavilion Arab Saudi pada Ekspo 2025 Osaka.
“Ini adalah peluang besar untuk Malaysia menjalinkan hubungan erat bersama Arab Saudi serta membuktikan kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Saya akan berbincang dengan Kabinet untuk melihat bagaimana kita boleh teroka, bidang apa yang kita boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya selepas majlis ramah mesra dengan 120 diaspora Malaysia di Jepun terdiri daripada pelajar dan individu yang bekerja di Negara Matahari Terbit itu.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; serta Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.
Fadillah yang berada di sini untuk merasmikan Majlis Pembukaan Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, berkata Arab Saudi kekal sebagai penganjur, manakala Malaysia dijemput mengambil bahagian dalam kerja-kerja persediaan termasuk teknikal dan infrastruktur.
Beliau berkata, Shahril Effendi akan berbincang dengan Ghazi Faisal Binzagr dalam masa terdekat berhubung perkara itu.
Sepanjang lawatan tiga hari, Fadillah menekankan perkongsian strategik jangka panjang antara Malaysia dengan Jepun, sambil mengetengahkan bidang kerjasama baharu yang selari dengan kelestarian, inovasi dan integrasi serantau.
Beliau turut melawat pavilion terpilih negara lain yang mengambil bahagian di Ekspo 2025 Osaka, antaranya Jepun, Arab Saudi, Indonesia, China.
Fadillah berkata, penyertaan negara dalam ekspo itu adalah selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang menjadikan Pavilion Malaysia sebagai lokasi utama untuk keterlibatan serantau sepanjang acara global selama enam bulan.
Lawatan beliau itu menggambarkan komitmen Malaysia ke arah memperkukuh hubungan saling menguntungkan dengan Jepun serta komuniti global, terutama dalam sektor yang mendorong ketahanan, inovasi dan kesejahteraan bersama.-BH Online